my company

my company
Aishah (part 2)

Sementara menunggu isteri saya menyiapkan pakaian Aisyah dan beg tadikanya, saya sempat membelek-belek kitab Mukadimah Ibn Khaldun yang agak lusuh itu. Sudah berapa kali saya menikmati keindahan isinya, namun masih ada yang tersisa belum memahami apa yang cuba disampaikan oleh penulisnya. Saya meneliti satu persatu, menghirup sedalam-dalamnya hikmah yang tersembunyi di balik kitab setebal separuh jengkal itu.

Muka surat 525, Ibn Khaldun telah menceritakan dengan panjang lebar tentang apa itu ‘berfikir’ yang di dalam al-Quran ada disebut sebagai af-idah. Dalam huraiannya yang agak memeningkan saya, ditambah pula pelbagai gangguan manja dari isteri dan Aisyah, saya cuba memahami asas-asas yang membentuk lantai pemikiran dalam pelbagai disiplin ilmu, yang mana ditafsirkan sebagai penjamahan bayang-bayang di balik perasaan, dan aplikasi akal di dalamnya untuk membuat analisis dan sintesis. Fikr.

Tingkatan fikr itu ada tiga kata Ibn Khaldun. Isteri saya pun tahu tentang ini, dan memang dia memahami pun. Sebab saya telah membuat perkara pelik semasa dalam perjalanan pulang ke kampung semasa kami baru melangsungkan perkahwinan. Saya menyuruh isteri membaca kuat-kuat tentang tajuk ‘keupayaan manusia untuk berfikir’ dari kitab Mukadimah itu, sedang saya pula memandu kereta.

Tergelak pula isteri saya bila disuruh berbuat demikian, tapi rupa-rupanya baru saya tahu pemikiran isteri saya boleh tahan juga. Sempat lagi kami berbalah mulut bila membincangkan tentang tajuk itu, hingga masam-masam muka isteri saya bila saya bagi ayat perli yang agak pedas tentang potensi dan cara berfikir seorang wanita. Tapi, lepas saya cubit hidungnya, oh rupanya dia berlakon merajuk. Geram betul.

Sekurang-kurangnya, kami berdua dapat memahami tiga tingkatan berfikir itu. Dari kemampuan pembeza dengan melalui pelbagai pengalaman lalu membentuk tangapan-tanggapan hinggalah kepada intelek spekulatif (al-aql an-nadzari) melalui persepsi tasawwur dan tashdiq.

“Pelik-pelik betul istilahnya,” kata isteri saya. Masa tu Aisyah belum ada, jadi saya hanya perlu melayan kerenah isteri saya yang seorang tu sajalah.

“Abang, kasut Aisyah ni dah lama terkoyak. Kesian la kat sayang kita ni.” Tiba-tiba isteri saya memecah kesunyian. Aisyah dari tadi mengikut apa yang disuruh uminya. Jika disuruh pakai kasut koyak, pakailah dia. Jarang dia merungut, sebab saya memang mengajarnya begitu. Bersyukur dengan apa yang ada. ‘Syukur itu pangkal redha’, itu pesan saya kepada isteri setiap pagi sebelum dia ke tempat kerja.

“Koyak banyak ke?” saya menutup kitab Mukadimah Ibn Khaldun terus berjalan ke arah isteri dan Aisyah.

“Abang, nak tanya boleh?” Aisyah sudah siap memakai kasut. Eh, ada juga complain pagi-pagi ni. Saya mengangguk, sambil membetulkan tudung Aisyah. Comel anak saya ni bertudung.

“Saya tengok bisnes abang tak ada masalah. Income masuk tiap-tiap bulan. Dengar-dengar untung besar jugak bila ada permintaan dari luar negara.” Bila masa saya ajar isteri jadi mata duitan plak ni. Saya masih kurang jelas maksudnya.

“Sayang, cuba tanya dengan terus terang.”

“Ermm.. maafkan saya ya bang. Saya cemburu bila tengok kawan-kawan kita. Walaupun pendapatan tak seberapa, tapi rumah mereka selesa. Keperluan semua cukup dengan perabotnya, perhiasan. Kalau nak kira kita lagi mampu dari diorang. Saya kesian tengok Aisyah kena pakai kasut koyak.” Isteri saya melepaskan segala yang ada di hatinya. Suaranya halus, menusuk ke hati. Saya melihat kerdup wajahnya dan dia tertunduk melantai, pandangan saya beralih ke muka Aisyah dan kasutnya.

Ada sesuatu yang perlu saya jelaskan kepada isteri. Lantas saya mendukung Aisyah dan memimpin tangan isteri ke meja tempat saya biasa menelaah buku. Isteri dan Aisyah mengikut saja. Tiada perkataan yang terkeluar, senyap.

“Abang, kenapa?” isteri bertanya sambil menelan liur sedalam-dalamnya. Suaranya tersekat-sekat.

“Abah, bila nak hantar Aisyah pergi tadika?” Aisyah pula yang bertanya dengan suara pelatnya.

“Isteri dan Aisyah yang abang sayangi. Abang cuba nak menjadikan hidup kita seperti yang Nabi ajarkan sayang. Abang cuba nak jadikan hidup kita sederhana.” Suara saya pula yang tersekat-sekat.

Saya lalu mengambil tafsir Al-Azhar di rak buku, lalu membuka surah Al-`Alaq. Saya menceritakan tentang tafsiran ayat 6 dan 7 dari surah itu kepada isteri. Agar dia mengerti kenapa saya tidak memilih kemewahan walaupun mempunyai kemampuan. Ya, manusia akan sentiasa menunggu, kekayaan itu bisa menjadi taghut seperti yang diceritakan oleh Abu Hurairah dalam sebuah hadis. Orang yang merasakan dirinya berkecukupan atau berlebihan akan menjadi taghut.

“Sayang, abang tak nak keluarga kita termasuk dalam golongan ghinan mutghiyan. Jutawan yang menjadi taghut. Tahu kan taghut tu apa?” saya cuba menguji isteri.

Isteri saya mengangguk-angguk sambil tersenyum. Dia terus menggenggam tangan saya dengan lebih erat. Eh, saya suruh dia faham, bukan nak main pegang-pegang tangan. Mungkin dia bertambah sayang pada suaminya sebab telah mengajar satu lagi ilmu. Saya juga tersenyum.

Benar, Syed Qutb menerangkan dalam Fi Zilalil Quran, perkataan yatgho dalam ayat tersebut bermaksud melampaui, sombong dan takbur. Dan ubatnya adalah tiada yang lain selain kita meletakkan segala amalan itu, berhendakkan Allah, yakni bermatlamatkan mardhotillah, keredhaan Allah. Apabila Allah menjadi matlamat, maka kekayaan tidak mampu menjadikan kita melampaui batas lalu menjadi taghut.

Menjadi taghut umpama air bah yang melanda sungai. Ia akan melanda apa sahaja tanpa mengikut alur tebing sungai tersebut. Samalah kita apabila menjadi taghut, segalanya akan dilanggar dengan angkuh.

Isteri saya masih tersenyum. Gembira agaknya. Dia sudah betul-betul memahami kenapa saya bersederhana dalam berbelanja.

“Awak pernah dengar cerita Abu Zar al-Ghifari yang tidak menyetujui pendapat Kaab R.A?” saya cuba menguji tahap pembacaan sirah isteri saya. Dia mengangguk-angguk lagi.

“Sah, memang inilah isteri abang. Hehe.. jangan lupa cerita kat Aisyah ya.” Isteri saya tergelak kecil.

Aisyah pula yang pening-pening bila saya bercerita kepada isteri saya. Biarlah, belum sampai masanya untuk dia memahami. “Aisyah, kalau Aisyah ada RM1,000 Aisyah nak buat apa?”

Kini giliran Aisyah pula untuk diuji.

“Ecah nak g Makkah! Nak bawak umi ngan abah.” Haha, saya pula yang tergelak. Saya menjeling kepada isteri dan mengangkat-angkat kening. Lalu dia menjelir lidah kepada saya. Hehe, malulah tu kat anak sendiri. Mesti dia ingat Aisyah nak beli kasut baru.

“Aisyah, RM1,000 mana cukup nak gi Mekah sayang.” kata isteri saya kepada Aisyah sambil tergelak kecil. Dia cepat-cepat membisikkan sesuatu kepada Aisyah. Ha, rahsia apa pulak yang dibisikkan tu. Geram betul dengan dua beranak ni.

“Yalah, yalah, hujung minggu ni kita pergi shoping ya. Nanti abah belikan kasut baru untuk Aisyah. Umi pun abah nak belikan jubah baru. Nak tak?” Faham sangatlah saya apa yang dibisikkan tu.

Aisyah terpinga-pinga sambil tangannya memegang erat jari telunjuk saya.

“Yeye, sayang abah!” isteri saya pula yang menjerit gembira. Eh, ingatkan Aisyah yang suka, dia pula yang lebih-lebih.

“Aik, bila masa abang jadi ayah awak? Haha..” saya bertanya kepada isteri dengan nada bergurau. Saya hampir tergelak melihat reaksi isteri apabila diperli begitu. Mukanya kembali masam mencuka. Mulutnya ditarik memuncung, tapi manis juga wajahnya walaupun masam macam tu. Saya tersenyum, tapi..

“Sayang, lain kali jangan buat muka masam depan abang ya. Tak baiklah. Isteri kena sentiasa senyum depan suami tau,” saya sempat cubit pipinya. Aisyah masih terpinga-pinga, nampak juga cemburunya bila saya bermanja-manja dengan uminya.

“Maaf bang. Saya tak buat lagi. Nanti beli dua pasang jubah ek. Boleh la..” pujuk isteri saya. Sudah, saya juga yang cair.

“Dua pasang je ke? Rugi tak cakap empat pasang. Dah, tak boleh tambah dah. Hehe.. Nanti kita belikan Aisyah tudung ye.”

Eh, sempat lagi isteri cubit bahu saya. Geram agaknya. Mesti dia nak beli empat pasang ni. Saya cuba mengelak sambil memegang Aisyah yang sedia memikul beg tadikanya. “Aisyah, cakap kat umi. Membazir tu amalan..?”

Saya cuba menguji Aisyah. Tapi dia senyap membisu, sambil mulutnya memasam. Aik, kenapa pula dengan budak comel ni. Tadi ceria, sekarang dahi dah berkerut-kerut.

“Abah! Asyik main dengan umi je!” Haha, rupanya budak comel ni cemburu tengok abah dan uminya. Pandai betul budak ni. Isteri saya pun tidak tertahan gelakannya. Isteri saya cepat-cepat mendakap Aisyah dan mendukungnya lalu dicium kedua pipinya.

Saya mendekati isteri dan Aisyah lalu berkata, “Sayang, abah dan umi cuba untuk membahagiakan keluarga kita, demi untuk kebahagiaan di masa akan datang.”

Aisyah belum mengerti. Namun, saya harus memulai sebuah keluarga yang bahagia untuknya.

“Jomlaa hantar Aisyah gi tadika..” ajak isteri saya. Dengan senyum yang masih terlekat di bibirnya, saya memimpin isteri sambil dia mendukung Aisyah menuju ke kereta.

Moga ada desir ketenangan dan sinar bahagia di sana. Allah...

-bersambung...

Sumber : Tafsir surah Al-`Alaq oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Kuliah Jumaat 28 Ogos 2009 di Medan Ilmu, Kota Bharu Kelantan.

 
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response.
0 Responses
Leave a Reply