my company

my company
Aishah (part 3)

Pagi tadi, semasa saya sedang menyemak bacaan al-Quran isteri saya, tiba-tiba umi membuat panggilan telefon. Panggilan dari Kelantan. Terkejut juga saya, ingatkan ada apa-apa berita kecemasan dari sana. Oh, rupanya berita yang menggembirakan.

Aduh, saya tidak mampu nak menceritakan berita gembira ni kepada isteri tercinta. Hati saya gembira bukan main lagi. Gembira itu terus marak dan merebak, umpama api yang tidak terjaga. Mahu saja saya melompat hingga ke siling rumah, mujur isteri ada di sisi. Hehe. Oh, umi mengkhabarkan tentang kelahiran anak kedua abang saya. Alhamdulillah, kakak ipar saya selamat melahirkan seorang lagi tentera untuk agama.

Lelaki. Ya, saya dan isteri baru dapat lagi seorang anak saudara lelaki. Maknanya, keluarga kami akan bertambah ceria dengan kehadirannya. ‘Muhammad al-Syathibi namanya’, kata umi. Al-Syathibi, nama itu biasa saya dengar. Dua kitabnya, al-I`tisham dan al-Muwafaqat dikatakan mampu menandingi lebih dari seribu kitab. Seorang ulama yang tidak terbandingkan. Hebat betul nama anak saudara saya yang kedua ni, nama anak saudara pertama pun hebat juga, Muhammad Salehuddin al-Ayubi.

Isteri saya terus menutup al-Quran dan mengucupnya, lalu menongkat di riba untuk mendengar perbualan saya dan umi. Aisyah sudah tertidur di riba uminya sejak selesai solat Subuh bersama. Masih mengantuk agaknya.

“Bila kamu nak tambah cucu umi? Kesian Aisyah takde adik tu,” kata umi kepada saya. Aduh, soalan yang sudah di agak setiap kali umi menelefon saya. Aisyah sekarang sudah berumur 4 tahun. Memang, saya akui dia sudah besar. Sepatutnya dia sudah mempunyai adik.

“Sabarlah umi. InsyaAllah lagi empat bulan bertambahlah cucu umi tu..hehe..” mata saya meleret kepada isteri sambil tersenyum dan mengenyit mata.

“Alhamdulillah, orang rumah sihat tak?” ceh, umi guna bahasa ‘orang rumah’ pulak.

Macamlah saya ni dah tua. Harap-harap isteri tak dengar, mana la tau kecil hatinya. Orang mengandung ni macam-macam ragam. Giliran suaminya la yang kena jaga hati, jaga makan minum, jaga pakaian. Sekali-sekala betukar ‘servis’, apa salahnya.

Rajin betul umi tanya khabar anak menantunya. Maklumlah semua duduk luar negeri, jauh-jauh pulak tu. Selalu juga saya menghubungi umi dan abah di Kelantan, cuma panggilan pagi ni sedikit istimewa dan mengejutkan. Umi meminta saya memberi telefon kepada isteri saya. Lama juga dia berborak dengan umi. Sekali-sekala isteri saya tergelak kecil dan tersenyum panjang. Adalah tu petua-petua pelik untuk orang mengandung dari umi.

Saya mengusap ubun-ubun Aisyah. Dah besar rupanya anak sulung saya ni. Tapi biasalah, besar-besar pun masih manja. Macam uminya juga. Mujur abahnya tak manja.haha..

“Awak pernah dengar tak cerita bagaimana Luqmanul Hakim mendidik anaknya sebelum dia berkahwin?” saya bertanya kepada isteri selepas dia menamatkan perbualan dengan umi. Berkerut juga dahi isteri saya bila mendengar soalan yang agak pelik. Bagaimana nak mengajar sedangkan berkahwin pun belum, apatah lagi mengandung?

“Kenapa pelik sangat soalannya bang?”

Saya bercerita kepada isteri dengan panjang lebar tentang peribadi Luqmanul Hakim dan cara beliau mendidik anak-anaknya. Malah beliau mendidik anaknya sebelum dilahirkan bahkan sebelum dia berkahwin.

‘Didiklah diri kamu dahulu. Jadilah seperti mana anak yang kamu inginkan,’ kata Luqmanul Hakim.

Isteri mengangguk faham. Dia tersenyum lagi. “Bertuah betul dapat suami macam abang,” katanya. Aduh, dia puji saya pulak, memanglah saya ni suami dia. Siapa-siapa pun bertuah kalau suami dia suka berkongsi rasa dengan isteri.

“Hish, ada-ada saja awak ni. Saya yang patut bersyukur dapat isteri macam awak. Senyuman awak tu buat hati saya gugur. Haha..” tergelak juga saya dibuatnya. Isteri saya tertunduk, tersipu-sipu malu. Mujur Aisyah tak dengar perbualan kami, mahunya dia cemburu dengan kemesraan kami berdua.

“Sebab tulah saya pilih awak dulu. Sebab lagi satu cara mendidik anak sebelum berkahwin ialah dengan memilih calon isteri yang solehah macam awak. Saya membuat keputusan untuk memilih awak bukan sebab keluarga awak orang senang, tapi sebab awak tidak hanyut dengan kesenangan keluarga.”

Wah, saya bercerita semacam baru hendak memulakan perkenalan je dengan isteri saya. Memang, kami selalu mengungkit kembali cerita semasa awal perkahwinan, supaya kami sentiasa merasakan seperti masih di awal percintaan. Dari situlah perasaan kasih sayang dan cinta itu akan sentiasa diperbaharui walaupun usia telah meningkat dan menua.

“Tapi bang, dulu ilmu saya kurang. Bila dengar abang bercakap atau bagi pendapat dulu, macam saya ni tin kosong.” Isteri saya merendah diri.

“Kalau awak tin kosong, saya jadi pembuka tin lah. Hehe..” saya pulak tak serius. Eh, tak serius atau ceria? Kadang-kadang, saya serius juga. Bergantung kepada desakan suasana semasa.

“Sayang, semua orang kurang ilmu tambah-tambah kita yang belajar agama macam celup tepung ni. Tapi abang dapat kesan satu sifat yang ada pada awak. Awak suka baca buku dan suka cari ilmu.” Saya tersenyum. Memang dia tak boleh nafikan, dia memang gilakan buku.

Mendidik anak dari dalam rahim ibu, inilah caranya. Mempunyai isteri yang suka membaca, menghadiri majlis ilmu, berbincang secara ilmiah dengan suaminya dan sangat cintakan al-Quran. Anak dalam kandungan akan terbiasa dengan alunan ayat-ayat Quran, berkat ilmu yang diperoleh oleh isteri dalam majlis ilmu dan sebagainya dapat mendidik roh anak dalam kandungan.

“Cuba tengok Aisyah, dah hafal surah al-Fatehah pun.” Kata saya sambil mengusap ubun-ubun Aisyah. Memang Aisyah anak yang solehah. Pernah dia minta daripada saya untuk beli tudung seperti uminya. Isteri saya perlu terkejut dengan permintaannya. Biasanya isteri saya akan membeli tudung kanak-kanak, macam dalam cerita Nabila tu. Hah, cerita Nabila? Eh, cerita Mutiara Hati lah. Walaupun cerita tu ditayangkan semasa kami belum berkahwin, isteri saya selalu bercerita tentang Nabila kepada Aisyah supaya dia menjadi cerdik dan solehah.

“Hadis Nabi pun ada cerita, ibu bapa lah yang mencorakkan peribadi anak, samada menjadi seperti Nasrani, Yahudi atau Majusi. Maknanya acuan peribadi anak terletak pada sejauh mana keseriusan ibu bapa untuk mencorakkannya. Tapi macam-macam alasan yang diberi, anak sekolah di asrama la, pengaruh kawan la. Macam-macamlah. Risau juga saya dengan Aisyah ni.” Isteri saya mengeluh kerisauan.

Saya terus memasang telinga, takut-takut masih ada yang isteri saya nak sampaikan. Walaupun saya hafal hadis tu sejak di tahun satu pengajian, tapi saya cukup hormati apa yang nak disampaikan oleh isteri. Saya cukup berhati-hati dengan perasaannya. Masih terngiang-ngiang nasihat dari senior saya, ‘Berlaku adillah dengan isteri. Bila dia luangkan masa untuk jaga pakaian, makan minum, anak-anak.. kamu luangkanlah sepenuh masa untuk menjaga hatinya’. Saya cukup pegang dengan kata-kata itu.

Saya membuang pandangan ke luar tingkap. Hari semakin cerah dan suara burung-burung berkicauan. Saya terus merenung langit, melihat masa depan yang belum pasti cerah untuk anak-anak saya. Adakah masih ada ruang untuk anak-anak saya menikmati hidup yang tidak terganggu dengan dosa?

Senyap. Isteri saya masih leka dengan mengusap kepala Aisyah sambil membaca doa dan meniup di ubun-ubun Aisyah. Dia menoleh kepada saya lalu bertanya,

“Abang, kenapa?”

Saya terus memandang ke langit. Lalu dengan suara yang sangat berat, saya meluahkan kepada isteri. “Abang risau..”

Mata isteri berkaca-kaca, halus sungguh perasaannya. Lalu dia memalingkan muka saya kepadanya. “Abang, selagi saya hidup dan diberi kekuatan, saya akan terus membantu perjuangan abang. Saya akan didik anak kita supaya menjadi soleh dan solehah. Ni janji yang kita sama-sama lafazkan malam tu kan?”

Saya mengangguk keharuan. Saya tidak salah memilihnya. Jiwanya besar sebesar harapan saya bila pertama kali memilikinya. Saya senyum , dia senyum dan kami berbalas senyuman yang penuh makna.

Isteri saya menyalami dan mencium tangan saya. Sejuk dan tenang. Lalu dahinya saya kucupi dengan selaut kasih sayang dan pengharapan. Kasih kami bertaut hebat dan terus tersemat di jiwa, umpama ombak menampar-nampar pasir di pantai. Kian lama, pantai itu membentuk teluk dan teluk itulah merupakan jiwa-jiwa kami. Jiwa yang sarat dengan cinta kerana Allah.

“Kalau Siti Nur Aisyah jadi anak selohah macam sayang, moga-moga Muhammad Al-Fateh jadi anak soleh macam abang.” Kami sama-sama tersenyum sambil saya mengusap-ngusap perut isteri yang mengandung itu.

Khali. Tiada kata-kata yang terucap. Moga-moga..

Muhammad Al-Fateh…

 
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response.
0 Responses
Leave a Reply

Terdapat ralat dalam alat ini