my company
Khutbah Jumaat minggu lalu begitu keras menyentuh tentang perayaan Valentine's Day. Mimbar masjid terasa bergegar dengan peringatan yang tegas dari khatib kepada para pemuda-pemudi Yaman agar jangan turut sama terlibat dalam perayaan ini. Katanya terdapat restoran-restoran dan hotel-hotel yang menyediakan pakej makan malam untuk meraikannya di mana golongan muda-mudi boleh bertemu-janji dan bertukar-tukar hadiah sambil memakai pakaian yang ada 'warna merah' bertemakan sambutan itu. Ketika mula sampai di Yaman kira-kira 4 tahun lalu, suasananya berlainan sekali. Kini budaya barat sudah sedikit demi sedikit mempengaruhi para pemuda-pemudi. Sudah ramai yang meninggalkan jubah dan ghutrah (serban) dan beralih kepada t-shirt dan seluar jeans lusuh..
Perkara ini sudah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w melalui hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Sa'id al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: (maksudnya) "Sesungguhnya kamu pasti akan mengikut jejak langkah orang-orang yang sebelum kamu – sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggakan jika mereka memasuki ke dalam lubang dhab (sejenis biawak di padang pasir), pasti kamu akan mengikut mereka." Kami (para sahabat) bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah Yahudi dan Nasrani (yang engkau maksudkan)? Jawab baginda s.a.w: "Maka siapakah lagi (kalau bukan mereka)?"
–Hadis riwayat Imam Muslim (Kitab al-'Ilm, Bab ittiba' Sanan al-Yahudi wal-Nasara, hadis no.4822), Imam al-Bukhari (Kitab Ahadis al-Anbiya', hadis no.3197), Imam Ibnu Majah (Kitab al-Fitan, Bab Iftiraq al-Umam, hadis no.3984) dan Imam Ahmad (Kitab Baqi Musnad al-Muktsirin, hadis no.10230).
Imam al-Nawawi r.h. ketika mensyarahkan hadis ini di dalam Syarh Muslim mengatakan: "Yang dimaksudkan dengan 'sejengkal', 'sehasta' dan 'lubang dhab' (dalam hadis ini): adalah sebagai perumpamaan kepada dahsyatnya persamaan dengan mereka (Yahudi dan Nasrani). Dimaksudkan dengan persamaan itu ialah dalam perkara-perkara maksiat dan perlanggaran (dalam urusan agama), bukan pada kekufuran. Pada hadis ini terdapat mukjizat yang jelas bagi Rasulullah s.a.w, maka sesungguhnya telah pun berlaku apa yang diberitahu oleh baginda s.a.w." - al-Minhaj –Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj , Jil.9, Juzuk.16, hal.436 – rujukan no. hadis dalam naskhah ini 6723.
Sekiranya Imam al-Nawawi menyebut sedemikian pada zamannya (tahun 631-676 Hijrah), maka apatah lagi pada zaman kita hari ini? Umat Islam bukan sahaja sudah mengikut Yahudi dan Nasrani dalam perkara maksiat dan perlanggaran mereka terhadap suruhan agama, bahkan sudah ada orang-orang Islam yang menjadi kafir dan murtad! Begitulah misalan yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w bahawa umat Islam akan mengikut jejak langkah Yahudi dan Nasrani sedikit demi sedikit sehinggalah dalam perkara yang tidak masuk akal sekalipun; iaitu memasuki lubang dhab yang sempit di padang pasir?! Berapa banyak amalan 'yang tidak masuk akal' telah pun dilakukan oleh umat Islam?
Berbalik kepada Valentine's Day, saya merasa tergerak hati untuk menulis sesuatu setelah kami mendengar kuliah hadis semalam yang disampaikan oleh al-Syeikh al-Qhadi Muhammad bin Ismail al-'Amrani (bekas Qadi Yaman). Walau pun secara ringkas, apa yang disebutkan semalam sangat memberi kesan. Bahawa anak-anak muda Yaman sudah ramai yang mengikut jejak langkah Yahudi dan Nasrani! Jika begitu keadaannya di Yaman, bagaimana pula keadaannya di tanah air saya – Malaysia?
Asal-usul perayaan ini sudah umum diketahui, ianya sempena memperingati hari kematian seorang paderi Kristian. Walau pun terdapat berbagai-bagai versi tentang kisah seorang paderi yang bernama Saint Valentine yang dihukum bunuh oleh Maharaja Claudius II Gothicus pada 14 Februari tahun 270 Masihi itu. Terdapat juga pendapat yang mengatakan ianya berasal daripada perayaan Lupercalia oleh masyarakat Roman sebelum kristian dan kemudiannya digantikan dengan Valentine's Day oleh Pope Gelasius 1 pada kurun ke-5 Masihi. Semenjak itu ianya telah disambut sebagai 'hari berkasih-sayang' (a day of romance) sepanjang 14 kurun. Pedulikanlah apa pun kisah 'tragedi cinta' yang berlaku terhadap Saint Valentine itu! Apa yang penting ingin kita tegaskan di sini ialah perayaan tersebut bukan daripada Islam.. bukan daripada Islam.. dan sekali lagi BUKAN DARIPADA ISLAM!
Apabila ianya bukan daripada Islam, tentulah sesiapa yang menyambutnya termasuk dalam 'golongan' yang mengikut, meniru atau menyerupai suatu kaum yang lain.
Sesiapa yang menyambut perayaan ini, maka dia termasuk dari kalangan kaum tersebut. Kita barang kali tidak sedar dengan amaran Rasulullah s.a.w melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: (maksudnya) ".. Sesiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk dari kalangan mereka."
–Hadis riwayat Imam Abu Daud (Kitab al-Libaas, hadis no.3512) dan Imam Ahmad (Musnad al-Muktsirin minal-Sahabah, hadis no.4878)
Bukan sekadar itu, para ulama juga berpendapat bahawa haram hukumnya bagi sesiapa yang memakai pakaian yang menyerupai pakaian keagamaan sesuatu kaum. Contohnya pakaian yang menyerupai pendeta Yahudi, paderi Kristian, sami Buddha dan lain-lain. Sekiranya 'penyerupaan' atau 'peniruan' itu melibatkan soal akidah atau melakukan upacara ibadah sesuatu agama lain maka seseorang itu boleh menjadi kafir dan murtad. Termasuk juga haram hukumnya menyerupai suatu kaum atau golongan yang fasik seperti berpakaian mengikut para artis dari negara Barat yang mendedahkan aurat atau hampir 'bertelanjang' atau berpakaian mengikut gaya 'rock', 'punk', 'hip-hop', 'black-metal' dan macam-macam lagi. Sekiranya kita perhatikan soal berpakaian ini, kebanyakan orang-orang yang memakainya juga mengamalkan cara hidup dan ideologi sesuatu kaum atau golongan yang diikutinya.
Akan tetapi, sebarang pakaian yang tidak bercanggah dengan akhlak Islam, hukumnya adalah harus (dibolehkan untuk memakainya). Sebagai contoh, baju kemeja, seluar panjang, baju kot dan apa sahaja pakaian yang menutup aurat dengan sempurna dan sesuai dengan syariat Islam. Asalkan kita tidak berniat memakainya untuk meniru pakaian orang-orang kafir.
Berbalik kepada sambutan perayaan Valentine's Day, ianya jelas termasuk dalam perbuatan meniru dan menyerupai suatu amalan penganut agama lain. Kerana ianya berasal dari agama Kristian dan mereka merayakannya sebagai memperingati hari kematian seorang paderi yang dihukum bunuh. Pada hari ini, ianya disambut sebagai satu hari yang penuh romantik dan demi menjalinkan kasih-sayang dan cinta antara lelaki dan perempuan. Seorang teman yang pernah berkhidmat di sebuah hotel di Kuala Lumpur pernah memberitahu bahawa pada malam hari Valentine ini ramai orang-orang yang 'beragama Islam' turut sama meminum 'white wine' atau 'red wine' semasa 'candle light dinner' yang sungguh memualkan itu. Tidak kira orang-orang yang sudah berkahwin atau yang masih ber'couple' turut sama meraikannya. Para ulama Islam menegaskan bahawa perbuatan meraikannya adalah haram dan orang yang melakukan adalah fasik!
Saranan dari saya, bagi pasangan suami-isteri yang muslim-muslimah bolehlah melahirkan rasa cinta dan kasih sayang sesama mereka pada bila-bila masa tanpa menetapkan hari-hari tertentu. Bagi yang masih bujang pula, perbuatan ber'dating' dan bertemu-janji ini adalah haram dan bukan daripada ajaran Islam. Suatu ketika dahulu, ramai orang yang pernah mengadu kepada saya tentang natijah daripada perbuatan ber'dating' ini, kesemuanya tidak syak lagi membawa kepada perkara-perkara maksiat dan ada juga yang sampai ke peringkat 'terlanjur' atau 'membujur lalu melintang patah'... sebutlah apa-apa peribahasa sekali pun. Saya cuma mampu menyebutkan tentang taubat dan jangan putus asa daripada rahmat dan pengampunan Allah S.W.T.
Akhirnya, tulisan ini hanyalah sebagai satu peringatan.
Walaupun agak terlewat, namun bagi sesiapa yang sempat membacanya mungkin masih sempat membatalkan apa-apa temu-janji atau tempahan 'candle light dinner' pada malam esok (14 Februari 2008). Tanyalah diri kita sendiri, adakah kita masih lagi seorang Muslim atau masihkah kita beriman kepada Allah dan Hari Akhirat? Atau adakah kita terus-menerus redha untuk hidup dalam melakukan maksiat dan kefasikan? Semoga apa yang kita lakukan selama ini adalah kerana kejahilan diri kita. Masih ada masa untuk bertaubat, kembali mempelajari Islam, memperbaiki diri dan beramal dengan ajaran Islam secara keseluruhan.
Firman Allah S.W.T (maksudnya): ".. sesungguhnya mereka itu adalah kaum jahat lagi fasik. Dan Kami masukkan ia dalam (kumpulan mereka yang dilimpahi) rahmat Kami; sesungguhnya dia dari orang-orang yang soleh." (Surah al-Anbiya': 74-75)
Firman Allah Ta'ala lagi (maksudnya):
"Sesungguhnya penerimaan taubat itu di sisi Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan kejahilan, kemudian mereka segera bertaubat, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Nisa': 17)
Wallahu'alam.
tulisan oleh:
Imran bin Selamat,
Penasihat II, Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA),
Sana'a, Republic of Yemen.
____________________________
* Wahai Tuhan Kami! Ampunilah segala dosa kami, yang kami tersilap adapun terlupa…ameen